Antara Beban dan Keikhlasan

Setiap orang mempunyai guru. Jika terjumpa seorang yang mendakwa dia tidak mempunyai guru, maka ada dua kemungkinan. Sama ada dia menderhaka pada gurunya atau dia sebenarnya berbohong. Besar jasa guru kepada seseorang. Di sekolah, gurulah ibu bapa kedua kepada anak-anak. Kadang-kala guru itu lebih mengetahui bakat anak-anak daripada ibu bapa sendiri. Tidakkah kita terfikir tentang peranan guru dalam menginsankan kita? Tidakkah kita juga terfikir bahawa guru itu sentiasa berfikir tentang masalah hidup anak muridnya?


Mengenang nasib guru sekarang, terfikir saya tentang tanggungjawab yang digalas mereka. Mereka memilih guru sebagai kerjaya untuk menyara keluarga masing-masing. Hendak atau tidak, mereka terpaksa berkata 'ya' kepada orang atasan. Apabila murid sakit, merekalah doktor dan jururawat. Apabila murid berbuat salah yang melanggar peraturan, gurulah hakim dan algojonya. Andai kata guru itu terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang tidak puas hati dengan tindakan pihak sekolah terhadap anak mereka, maka gurulah yang terpaksa bertindak sebagai peguam.


Selain dengan tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu kepada murid, guru juga bertindak sebagai kerani. Gurulah yang mencatat rekod kemajuan murid, rekod kehadiran murid, menguruskan aktiviti murid dan sebagai pengiring setiap aktiviti murid di luar sekolah. Baru-baru ini, heboh diperkatakan tentang beban guru yang menjadi guru pengiring aktiviti kokorikulum. Sudahlah terpaksa berkorban masa yang dalam erti kata lain bekerja lebih masa tanpa elaun tambahan. Duit gaji sendiri yang terpaksa didahulukan ekoran sikap pentadbir sekolah yang tidak acuh dengan situasi sekeliling.
Guru bukan pekerja kilang. Murid bukan produk yang dikeluarkan oleh kilang dan sekolah bukan kilang yang mengeluarkan produk. Guru bekerja dengan manusia. Mendidik manusia ini menjadi insan yang lengkap bekalan. Murid mempunyai hati dan perasaan, tidak sama dengan barangan kilang yang tidak bernyawa. Sekolah adalah institusi ilmu yang merentas zaman. Sejak sekian lama institusi sekolah wujud demi memberi ilmu kepada anak bangsa. Tugas guru bukanlah mudah, namun demi mendidik anak bangsa, keikhlasan hati menjadi pegangan.
Kepada guru-guruku, ku doakan semoga kalian sejahtera di dunia dan akhirat. Terima kasih kerana pernah berusaha memaju dan mendidik ku. Walaupun pujian kalian kepada ku sebagai tanda penghargaan atas kejayaanku, namun cubit dan marah mu lah yang banyak mendidik ku.
Terima Kasih Guru.
Selamat Hari Guru!