Bebal


Runsing sungguh hati rakyat. Tak sudah-sudah krisis melanda. Sekarang ini, yang mana patut didahulukan dan yang mana patut diutamakan. Adakah keegoan pemimpin yang ingin menunjukkan pada dunia bahawa dia raja samseng yang mampu berbuat apa sahaja ATAU sistem keadilan negara yang patut didahulukan. Adakah juga kantung perut pemimpin yang berebut hak memerintah demi mendapatkan elaun dan gaji ATAU perut rakyat miskin yang hanya makan nasi berlauk ikan kering yang perlu diutamakan. Kadang-kadang kita sendiri hairan dengan sikap para pemimpin sejak akhir-akhir ini. Banyak gosip-gosip dan kontroversi yang berkait dengan peribadi buruk pemimpin kedengaran. Skandal seks dengan wanita luar negara yang akhirnya wanita itu dibunuh dengan tragis, soal pembelian helikopter terbaru Malaysia untuk menggantikan Nuri, pemimpin parti komponen yang mempunyai masalah moral dengan wanita muda. Itu tidak dikira lagi dengan masalah dalaman yang melanda beberapa parti politik utama negara, kontroversi penganugerahan 999 tahun hak tanah kepada bukan bumiputra, tanah-tanah diberi dengan meluas kepada sekolah jenis kebangsaan cina tapi tidak kepada sekolah agama rakyat yang daif. Andai kata isu-isu kontroversi dan ketidakadilan ini yang dijadikan indikator untuk menilai prestasi pemimpin, maka tidak ada pemimpin mana-mana pun yang boleh rakyat bergantung harap selagi mereka tidak berubah atau bertukar wajah.




Di satu sudut, ada kumpulan rakyat yang tidak kisah bagaimana rupa peribadi pemimpin mereka. Apa yang penting bagi mereka ialah suasana kondusif mereka untuk mencari sesuap rezeki tidak terganggu gugat. Mereka ini tidak mampu untuk berfikir tentang masalah-masalah yang melanda negara. Bukan mereka ini tidak kisah dan sengaja membutakan mata hati untuk menilai kepimpinan yang ada sekarang. Tapi kalau dari pagi hingga ke petang bekerja keras membanting tulang, tapi hasilnya hanya cukup untuk makan hari esok membuatkan mereka merasakan mana yang terlebih penting. Cari makan untuk perut anak bini ATAU pergi berkempen untuk pemimpin atasan yang belum tentu jelas membina nasib mereka. Cuba lihat contoh para petani di ladang getah. Memang benar bahawa ada satu-satu masa mereka ini seperti memperoleh durian runtuh apabila harga getah meningkat tinggi di pasaran. Pada masa itu mereka ini mempunyai pendapatan lebih besar dari mereka yang bergelar guru. Tetapi jangan kita lupa tentang penderitaan mereka sebelum ini. Makan ala kadar. Yang penting ada nasi. Lauk apa pun tak kisah, asalkan dapat makan dan dapat menyambung hidup. Bila tiba musim persekolahan, anak-anak penoreh getahlah yang paling daif menyambut hari baru di sekolah. Baju sekolah yang lusuh kekuningan, seluar bertampal sana-sini dan singkat ke paras buku lali, kasut koyak rabak, bertampal dengan perca kain. Pilu rasa hati. Jadi tidak perlu kita ada rasa cemburu terhadap rezeki yang Allah S.W.T kurniakan. Lagi pun semua itu sementara. Bukan tetap sepanjang masa. Bila tiba saat-saat kepayahan mencari rezeki, mereka ini terpaksa bekerja keras sepanjang hari sedangkan imbuhan yang diterima hanya cukup untuk makan sehari-hari. Bila pulang ke rumah masih ingin befikir bagaimana untuk mencari wang lebih untuk belanja sekolah anak-anak. Sedangkan pemimpin dan juak-juaknya sibuk mencari peluang dan mencuri wang rakyat.




Tapi, rata-rata pemimpin yang ada pada masa sekarang tidak pernah merasa mandi air perigi atau pernah berkongsi beban masalah kewangan bersama tonggak keluarga demi menyara keluarga. Selidikilah latar belakang mereka. Hampir kesemuanya memiliki latar belakang 'high-class'. Berasal dari keturunan pembesar-pembesar istana, mewarisi kekayaan turun-temurun. Lihat saja contoh ahli keluarga Najib Tun Razak. Mereka adalah dari keturunan bangsawan negeri Pahang. Oleh sebab itu kalau mereka ini tidak sanggup bersama-sama rakyat bawahan, tidak ada rasa hairan yang timbul. Adik kepada Najib yang sekarang merupakan CEO CIMB, pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Dasar Ekonomi Baru itu sebenarnya tidak relevan untuk pembangunan negara. Rupanya kepalanya tidak sekepala dengan Allahyarham bapanya yang bekerja keras mendokong cita-cita orang Melayu mewujudkan Dasar Ekonomi Baru. Tidakkah dia sedar tentang sejarah DEB dan apakah peranan DEB. Kalau tidak kerana DEB, maka tidak ramai anak Melayu yangmlanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Berapa kerat sangat orang Melayu yang mempunyai wang lebih untuk menghantar anak mereka ke IPT pada masa dahulu. Kalau tidak kerana inisatif DEB, rasanya tidak ramai anak Melayu yang mampu duduk sebagai CEO. Inilah manusia kepalang ajar. Tidak tahu untung nasib sendiri. Kalau bukan kerana dia dilahirkan dalam keluarga yang berada, entah-entah jadi penoreh getah sahaja.